RUMAH MODEN VS RUMAH TRADISIONAL
Membina rumah yang mesra alam atau rumah yang mempunyai ekologi (hubungan antara makhluk hidup dengan keadaan sekitarnya), bererti merancang pembangunan dengan pendekatan holistik. Ia bukanlah sesuatu yang sukar atau mahal untuk dicapai, dengan pengetahuan dan sedikit kreativiti, sesiapa saja mampu mewujudkan rumah yang mesra alam. Modal utama adalah kesedaran terhadap syarat-syarat keperluan keselesaan, alam sekitar dan kehendak diri sendiri, juga masyarakat. Rumah sebagai tempat menjalani kehidupan seharusnya dirancang dengan memerhatikan keseimbangan antara fizikal binaan, alam sekitar dan manusia sebagai penghuni.
Negara kita beriklim tropika, secara am, cuaca panas lembapnya agak sekata iaitu mengalami panas dan hujan sepanjang tahun. Jadi, proses merekabentuk rumah agak mudah dan tidak mempunyai banyak masalah jika dibandingkan dengan negara yang mempunyai empat musim.
Walau bagaimanapun, kebanyakan rumah di Malaysia kini lebih cenderung dibina dengan meniru model binaan negara lain yang belum tentu sesuai dengan cuaca di Malaysia. Mengikut gaya tertentu secara melulu mengakibatkan rumah direkabentuk dengan mengabaikan faktor cuaca tempatan dan menyebabkan rumah sukar disesuaikan dengan iklim setempat. Akibatnya, penghuni di dalam rumah menjadi tidak selesa, malah boleh mendapat gangguan kesihatan. Alangkah ruginya mempunyai rumah yang tersergam indah tetapi tidak selesa dan tidak kondusif untuk diduduki.
Faktor iklim memang tidak boleh diabaikan. Maklumat yang perlu diketahui untuk membina rumah termasuklah suhu, pancaran matahari, angin, kelembapan dan curahan hujan. Negara kita boleh dikatakan menerima hujan sepanjang tahun dengan kadar kelembapan yang tinggi. Disebabkan kadar kelembapan yang tinggi ini, kadar pengalihan udara panas adalah rendah. Pencahayaan pula dari bahagian atas dan sinar matahari memancar dari timur di pagi hari dan dari barat di waktu petang.
Rumah Melayu tradisional adalah contoh terbaik bagaimana tukang kayu dahulu memahami kehendak alam sekitar dalam merekabentuk rumah. Rumah Melayu tradisional mempunyai elemen rekabentuk terhadap cahaya matahari yang pasif, dianggap sebagai satu rekabentuk domestik yang unggul terhadap iklim panas lembap yang mempunyai peneduh yang cukup, bukaan yang banyak untuk aliran udara keluar masuk, susun atur dalaman terbuka, bertiang, ketinggian siling tinggi dan penggunaan bahan binaan ringan yang tidak memendapkan haba.
Binaan rumah tradisional bukan saja tertumpu pada binaan bangunan tetapi menitik beratkan susun atur bangunan yang hendak didirikan. Apabila dikaji, rumah-rumah tradisional dibina secara bersilang atau secara rawak susunannya kerana bertujuan untuk membenarkan laluan angin melepasi setiap rumah. Ini tidak berlaku pada binaan rumah teres pada masa kini yang mana menghalang pergerakan laluan angin.
Perancangan secara tradisional juga mengambil kira elemen persekitaran yang boleh menyumbang kepada penyamanan udara semula jadi. Antara elemen berkenaan adalah tumbuh-tumbuhan yang ditanam di sekeliling rumah. Sebagai contoh, pokok kelapa begitu sinonim dengan masyarakat Melayu, bukan hanya kerana kegunaannya yang pelbagai tetapi kewujudannya di sekitar kawasan rumah Melayu dahulu bukan saja memberi teduhan tetapi tidak menghalang laluan angin pada aras rumah mereka.
Binaan beranda terbuka dan cucur atap yang memanjang adalah cara kawalan yang baik terhadap pancaran cahaya dan silau matahari. Rekabentuk yang terdapat pada rumah tradisional ini boleh diadaptasikan pada rekabentuk dan binaan rumah moden sekarang. Konsep keterbukaan pula masih boleh dihadirkan dalam rumah moden dengan membuat beranda atau elemen tersebut digunapakai sebagai pengganti ruang tamu. Meskipun rumah moden dibina atau direkabentuk dengan memakai bahan-bahan moden dengan penataan ruangan yang moden, konsep keterbukaan masih tetap dapat diaplikasikan. Pada rumah moden, kesan moden biasanya kelihatan pada penggunaan bahan binaan baru seperti konkrit, kaca, alumunium, dan sebagainya. Penampilan gaya tradisional masih boleh dihadirkan, misalnya dengan menggunakan elemen bahan kayu yang diukir bergaya tradisional.